LATAR BELAKANG DAERAH BELURAN


Daerah Beluran, dahulunya lebih dikenali sebagai Daerah Labuk-Sugut dan telah wujud sejak awal Pentadbiran British North Borneo Charterd Company, ia merupakan antara Daerah yang terawal di Negeri Sabah. Nama Beluran diambil sempena nama bukit yang menjadi "Land Mark" pekan ini, iaitu dalam bahasa Dusun Labuk, Sungai dan Tidong disebut "BULUDAN" Pertukaran nama terjadi akibat daripada salah sebutan dan ejaan dalam surat menyurat oleh warga Inggris yang tidak fasih menyebut perkataan dalam bahasa tempatan menyebabkan BULUDAN bertukar kepada BELURAN dan kekal sehingga kini. Pejabat Pentadbiran Daerah Beluran telah ditubuhkan seawal tahun 1916, walaubagaimanapun semua rekod dan data berkenaan telah musnah akibat perang dunia ke dua, dan rekod Pegawai Daerah beberapa tahun juga musnah. Menurut sumber daripada orang lama, Encik B.S Willie telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Beluran pada tahun 1945. KLAGAN merupakan Pusat Pentadbiran Daerah Labuk Sugut yang pertama, tetapi kerana kawasan tersebut seringkali dilanda banjir, Pemerintah British telah memindahkan pusat pentadbiran tersebut ke kaki bukit Beluran.

INFO DAERAH BELURAN
Keluasan Daerah Beluran adalah merangkumi kawasan seluas 5,782 kmĀ², yang menjadikan Daerah Beluran daerah ke-6 terbesar di Sabah dan mempunyai 10 buah Mukim.Jumlah penduduk Daerah Beluran adalah seramai 77,125 orang pada bancian 2020, dengan majoriti penduduknya mendiami kawasan Pekan dan sekitarnya. Antara suku kaum atau etnik yang terdapat Daerah Beluran adalah seperti etnik Orang Sungai, Tidung, Suluk, Bajau, Kadazandusun, Rungus, Dumpas, Cocos, Brunei dan Cina. Majoriti penduduk terdiri daripada kaum bumiputera dan Sumber Ekonomi bagi Daerah Beluran adalah bergantung kepada sektor Perladangan, Pertanian, Perikanan dan kakitangan kerajaan/swasta. Hasil utama Daerah ialah kelapa sawit dan sumber laut.