PELANCARAN KEMPEN PEMBAYARAN TANPA TUNAI
Beluran Melangkah Ke Era Digital: MDB Lancar Kempen Pembayaran Tanpa Tunai
BELURAN – Majlis Daerah Beluran melakar satu lagi pencapaian penting dalam transformasi digital daerah apabila menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Pembayaran Tanpa Tunai, satu usaha proaktif bagi memperkasakan ekosistem kewangan digital di peringkat tempatan. Inisiatif bertema pemodenan kewangan ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan transaksi digital secara meluas dalam kalangan masyarakat Beluran, dengan tumpuan khusus diberikan kepada peniaga kecil dan penjaja.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YB Samad Jambri @ Jamri, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Labuk. Turut hadir wakli Dari Agro Bank, Pegawai Daerah Beluran , Pegawai Eksekutif dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Beluran.
Pelaksanaan kempen ini menyasarkan pelbagai urusan harian tempatan daripada pembelian barangan asas di gerai penjaja sehinggalah kepada pembayaran perkhidmatan rasmi dan lesen di agensi-agensi kerajaan.
Melalui inisiatif ini, orang awam kini boleh membuat pelbagai pembayaran dengan lebih cepat, selamat, dan mudah dengan hanya menggunakan aplikasi perbankan dalam talian mahupun dompet digital (e-wallet).
Kempen ini dijangka bakal menjadi batu loncatan utama buat daerah Beluran dalam menyesuaikan diri dengan arus pemodenan ekonomi digital negara, seterusnya memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam pemodelan teknologi kewangan masa kini.







